Sabtu, 11 Julai 2009

Renungan Surah al-Munafiqoon Ayat 7

Digantung sumber kewangan…

Dibuang kerja…

Ditukar posisi ke sana sini…

Semua itu adalah cacatan-cacatan yang sangat biasa mengiringi usaha dakwah. Berusaha secara lembut gigi, berusaha secara keras lidah, berusaha secara tangkas tangan, berusaha secara tajam akal, jika al-Haq nama perjuangan itu, pasti teruji dengan ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, malah nyawa dan kehidupan, biar pun sedikit.
Mempelajari Allah sebagai Tuhan yang al-Razzaq, tidak sama dengan mengalami dan merasakannya. Ia adalah sebuah ujian yang jangan dicari, namun datangnya ditekuni dan berakhir dengan syukur.

Justeru berdamping dengan ayat ke-7 Surah A-Munafiqun penting mengubat rasa terpencil hati:

هم الذين يقولون لا تنفقوا على من عند رسول الله حتى ينفضوا. والله خزائن السموات والأرض ولكن المنفقين لايفقهون 7


“Mereka itulah (orang-orang Munafiq) golongan yang berkata, janganlah kamu beri nafkah kehidupan kepada orang-orang yang bersama Rasulullah supaya (dengan tindakan itu) mereka akan berpecah belah dan meninggalkan Rasulullah. Sedangkan bagi Allah itu segala khazanah langit dan bumi. Hanya orang-orang munafiq itu sahaja yang tidak mengerti.”

TAUJIHAT MUFASSIR
“Tindakan melaparkan pejuang-pejuang Islam yang memperjuangan Sunnah Rasulullah SAW itu, adalah kaedah yang sentiasa dipakai oleh musuh Islam”, saya membaca bait-bait ulasan Al-Marhum Said Hawwa di dalam kitabnya Al-Asas fi At-Tafseer.
Orang-orang Munafiq menyangkakan bahawa golongan yang bersama dengan Rasulullah SAW dan perjuangan Baginda itu berjuang untuk mengisi perut masing-masing sebagaimana orang-orang Munafiq itu bermatlamatkan sedemikian rupa dalam kehidupan mereka.
Mereka tersalah nilai.
Mereka terlupa dua perkara.
Pertama, pejuang kebenaran telah terlebih dahulu mewaqafkan hidup mereka untuk Islam. Mereka bukan hidup untuk diri sendiri. Hidupnya ditafsirkan jauh dari sangkaan kaum Munafiq yang berpenyakit hati.
Maka perbuatan menyekat rezeki, memaksakan kelaparan ke atas mereka, hanya menambahkan iman dan mengukuhkan keteguhan serta menzahirkan kebenaran. Ini pelajaran asas setiap pendakwah, justeru mengapa penentang dakwah tidak pernah mahu belajar?

“Dan pastinya Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan dan kekurangan harta, jiwa dan hasil buah-buahan. Dan berikanlah khabar gembira kepada mereka yang sabar” [Al-Baqarah 2: 155]
Maka kelaparan di dunia, adalah SEDIKIT berbanding kelaparan, ketakutan dan kemiskinan di Akhirat.
Menyusah dan menyakiti diri seorang da’ie hanya menambah kukuh cita-citanya.
Perkara kedua yang golongan Munafiq itu terlupa ialah, khazanah langit dan bumi ini adalah milik Allah SWT. Tiada sesuap nasi pun yang akan masuk ke mulut seseorang melainkan dengan keizinan Allah. Akan tetapi orang Munafiq tidak mengerti. Mereka sangka rezeki itu dikawal manusia.

“Jangan gigit tangan yang memberi makan kepada kamu…”, adalah di antara ayat maksiat yang pernah dislogankan mereka.
Keingkaran di dalam hati mereka membutakan mata dari melihat pemilikan Allah SWT ke atas segala sesuatu di langit dan di bumi ini. Lantas mereka dengan cepat menyangka bahawa mereka berkuasa menahan nafkah dan berkuasa menyebabkan orang-orang yang bersama Rasulullah SAW itu berpecah belah dan meninggalkan perjuangan.

Sesungguhnya orang-orang Munafiq itu tidak mengerti!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan